“Arw4h Pergi Dalam Keadaan Baik,” Kilafairy Reda Dengan Pemergian Ibu
“Arwah Pergi Dalam Keadaan Baik,” Kilafairy Reda Dengan Pemergian Ibu
Penyanyi dan pelakon, Kilafairy reda dengan pemergian ibunya, Allahyarhamah Rohana Jalil yang meninggal dunia semalam.
Memetik Sinar Harian, Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 31, berkata peluang untuk berada di sisi ibunya sehingga detik-detik terakhir adalah satu momen yang tidak dapat dilupakan.
‘Saya reda mama pergi’ – Kilafairy
“Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan baik dan segala urusan jenazah termasuk pengebumian dipermudahkan. Malah, arwah juga pergi dalam keadaan tersenyum.
“Walaupun sedih, tapi saya reda kerana itulah yang selalu diajar oleh kedua-dua ibu bapa saya bahawa yang hidup pasti akan mati.
“Saya lega kerana sudah buat yang terbaik ketika hayatnya masih ada. Dari awal dia sakit dan dimasukkan ke hospital sehinggalah pada saat pemergiannya, saya ada di sisi.
“Malah saya juga berpeluang memandikan dan mengambil wuduk untuknya,” ujarnya sewaktu ditemui di Majlis pengebumian Allahyarhamah ibunya.
Nasihat & Pesanan Mama Sentiasa Tersemat Dalam Ingatan
Tambahnya, dia mengakui pelbagai kenangan bersama Allahyarhamah yang kekal terpahat dalam ingatan. Ia termasuk nasihat dan pesanan yang diberikan kepadanya.
“Arwah mama seorang yang sangat lucu dan suka bergurau. Kami banyak menghabiskan masa bersama kerana saya belum berkahwin dan masih tinggal bersamanya.
“Pesan yang paling saya ingat adalah nasihatnya agar saya sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan tidak lupa diri,” jelasnya.
Sementara itu, Kila juga sempat memuatnaik perkongsian di Instagram miliknya hari ini.
Menurutnya, hari yang paling ditakuti olehnya sudah tiba dan dia sudah tiada pilihan lain selain menempuhi hidup di dunia ini tanpa ibunya di sisi.
“Sekejap je Allah pinjamkan mama untuk adik dekat dunia ni.
“Allah ambik mama di hari kedua Zulhijjah, Subhanallah, Allah sayang kita 70 kali ganda lebih dari seorang anak sayang ibu dia.
“Nanti adik jumpa mama dekat sana okay. Rehatlah dengan tenang bidadari syurgaku,” katanya.