“Saya Rasa Selamat Berada Di Bawah Ketiak Suami”
Baru-baru ini, pasangan selebriti Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin masih dalam fasa berbulan madu apabila mereka ke negara Turkiye.
Memetik Xtra, menerusi temu bual Melodi, Yusof berkata dia ke Turkiye atas urusan kerja namun mengambil kesempatan untuk membawa Zizi bersama dan dalam masa yang sama dapat berjalan melihat tempat cantik disana.
“Saya ke Istanbul untuk bekerja sambil berjalan. Saya bawa isteri saya sebab di sana banyak tempat cantik jadi rugi kalau tak bawa pasangan. Mana boleh tinggal.
“Bukan tak boleh berjauhan cuma saya rasa boleh bawa pasangan sekali jadi saya tanya pihak produksi dahulu dan mereka benarkan, saya bawalah,” katanya.
Sementara itu, sudah hampir dua tahun bergelar isteri kepada Yusof, Zizi berkata dia rasa selamat apabila sentiasa berada disisi suaminya.
“Saya dah beritahu pada pengurus saya jangan ambil sebarang tawaran selama 10 hari. Saya rasa selamat berada di bawah ketiak suami saya,” katanya.
Dalam pada itu, Yusuf berkata isu rumah tangga terpalit rakan selebriti yang lain tidak menganggu mereka suami isteri. Ujarnya, dia dan isteri berpegang kepada prinsip kepercayaan.
“Tidak menganggu kami sebagai suami isteri atas isu semasa yang berlaku pada rakan-rakan selebriti. Ujian manusia ini berbeza, jadi kita ambil iktibar daripada kisah mereka.
“Kita doakan untuk kebaikan mereka, mungkin esok lusa Allah uji kita pula, kita tak tahu tapi minta diajuhkan perkara tidak baik.
“Saya minta isteri saya memberi kepercayaan sebab rumah tangga ini berdiri atas sebab kepercayaan dan iman. Insya-Allah akan dilindungi rumah tangga kita,” katanya.