Selalu Ponteng, Qistina Raisah Dibuang Sekolah Seawal Darjah Satu
Pelakon remaja Qistina Raisah mengakui dia dibuang sekolah seawal darjah satu kerana sering ponteng.
Memetik Kosmo, Qistina berkongsikan dia sempat hadir ke sekolah selama 10 hari sebelum dibuang kerana kerap tidak hadir ke sekolah.
“Saya memang tidak ada pengalaman duduk di kantin sekolah. Sebab saya hanya pernah pergi ke sekolah selama 10 hari sahaja ketika darjah satu. Selepas itu saya dibuang sekolah sebab selalu tak datang,” katanya.
Menurut pelakon berusia 14 tahun itu, dia banyak kali tidak dapat hadir ke sekolah kerana sibuk menjalani penggambaran drama dan program televisyen.
Katanya lagi, selepas dibuang sekolah sejak usia tujuh tahun dia mendapat pendidikan di rumah (homeschooling) sahaja sehingga ke hari ini.
Sementara itu, Qistina berkata dia pernah mendaftar masuk ke sekolah bagi menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), namun negara pula dilanda pandemik Covid-19.
“Saya daftar sekali lagi masuk ke sekolah ketika berusia 12 tahun (darjah enam) untuk menduduki (UPSR), tapi PKP (Perintah Kawalan pergerakan) pula.
“Selepas itu saya dapat ‘job’ ke Itali untuk penggambaran bersama Zul Ariffin dan Neelofa. Cikgu pula ingat saya pergi bercuti, kena buang terus (lagi sekali),” katanya.
Dalam pada itu, Qistina berkata dia pernah menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, namun dia percaya bahawa rezekinya sudah ditetapkan Allah.
“Saya memang teringin untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara. Tetapi itu impian ketika kecil. Apabila sudah semakin dewasa, saya mula sedar bahawa Tuihan sudah menetapkan tanggungjawab (bekerja) saya begini.
“Ada orang sudah belajar tinggi-tinggi pun, belum tentu boleh berjaya. Jadi saya pada usia muda sudah bina karier dan nama dalam bidang seni, jadi saya teruskan sahaja,” ujarnya