Lelaki tan4m 7 mayat bayi hasil sumbang mahr4m dengan anak kandung
JAKARTA – Polis masih menjalankan operasi pencarian tujuh rangka bayi manusia yang dikebumikan di sebuah lokasi bekas tapak sebuah kolam di Jawa Tengah, Indonesia, lapor laman berita Liputan 6 hari ini.
Kelahiran tujuh bayi itu didapati hasil sumbang mahram antara seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai R, 57, bersama anak kandungnya sendiri.
“Semalam kami menetapkan bahawa R, 57, iaitu penduduk Desa Tanjung sebagai suspek,” kata Ketua Polis Banyumas, Agus Supriadi Siswanto, sambil menambah, suspek kes itu mungkin lebih daripada seorang.
Polis mempunyai bukti mencukupi untuk menuduh R sebagai suspek dalam kes tersebut.
Kes itu pada awalnya didedahkan bermula dengan penemuan objek disyaki tulang manusia oleh dua pekerja pembersihan pada 15 Jun lalu ketika mereka meratakan tanah di lokasi tersebut.
R didakwa membunuh dan menanam bayi hasil sumbang mahram bersama anak kandungnya yang dikenali sebagai E, 25, sejak 2012.
Perbuatan keji itu dilakukan R sejak kelahiran bayi pertama pada 2013 sehingga bayi ketujuh pada 2021.
“Berdasarkan pengakuan suspek, masih terdapat tiga mayat bayi yang dibunuhnya dan ditanam di tempat itu, selain empat rangka bayi yang kami temui antara 15 hingga 21 Jun lalu,” jelas Agus.
Menurut Agus, Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas telah menggali kawasan bekas kolam itu semalam namun masih belum menemui rangka tiga bayi tersebut.
Isteri ketiga R bernama S dikatakan membantu E melahirkan anak. S dikatakan diugut bunuh oleh R sekiranya membongkarkan perkara tersebut. – Agensi